Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
BENTONG – Hasrat seorang ibu untuk membelikan kek yang diminta anaknya sempena hari lahir remaja itu pada 20 November ini tidak kesampaian apabila mangsa maut ketika dalam perjalanan ke sekolah semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Fikrie Mohd. Azhari, 15, yang menunggang motosikal jenis Modenass Kriss bersama rakannya Muhammad Haziq Iskandar Khairul Amir, 15, maut selepas bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 26, Jalan Utama Felda Mempaga di sini.
Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang merupakan sahabat baik itu dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sertik.
Siti Zaleha Mat Said, 45, berkata, sebelum ke sekolah, anak ketiga dari enam beradik itu ada menyatakan hajatnya untuk menyambut hari lahir selepas sekian lama tidak berbuat demikian.
“Dia beritahu tidak pernah dibelikan apa-apa ketika hari lahirnya dan kali ini dia mahu dibelikan kek hari jadi selain meminta duit belanja untuk membeli barangan motosikal.
“Saya memang merancang untuk membeli kek dan membuat majlis makan bersama keluarga sempena hari lahirnya tahun ini tetapi reda dengan takdir ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Bentong di sini semalam.
Dalam pada itu, ibu kepada Muhammad Haziq, Suhana Shamsudin, 38, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu daripada seorang rakannya yang menelefon bagi memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
“Saya hanya tahu kemalangan itu melibatkan anak jiran dan tidak sangka pula anak saya turut membonceng motosikal itu.
“Apa yang saya tahu, arwah tidak menunjukkan apa-apa perkara luar biasa atau pelik tetapi seperti biasa, dia akan bangun pagi dan bersiap ke sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yusof Unis berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Felda Mempaga ke arah Sertik di sini.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori balak tanpa muatan.
“Akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala pembonceng meningal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Mempaga,” katanya.