Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
TEMERLOH – Hasrat seorang lelaki mencari lauk untuk keluarga dengan pergi memancing berakhir dengan tragedi apabila dia dihempap sebatang pokok hutan di Jalan Triang-Temerloh berhampiran Kampung Tenggoh di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mangsa, Muhammad Mokhtar Umar, 54, mengalami kecederaan parah apabila patah tulang belakang dan patah paha kiri.
Rakan mangsa yang juga saksi kejadian, Samsudin Mahmud, 48, berkata, semasa kejadian dia yang menunggang motosikal mengikut di belakang mangsa yang membonceng anaknya untuk pulang selepas memancing.
“Ketika kejadian hujan lebat dan saya telah mengajaknya berteduh dahulu tetapi dia mengatakan tidak apa kerana sudah basah kena hujan.
“Ketika mengekori di belakanngya tiba-tiba sebatang pokok hutan patah di bahagian tengah dan menghempap bahagian hadapan motosikalnya menyebabkan kaki kanannya ditindih motosikal, manakala kaki kiri ditindih dahan kayu.
“Anak mangsa yang membonceng motosikal pula mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Menurut Samsudin, dia yang berada di belakang mangsa sempat mengelak daripada melanggar pokok berkenaan.
Katanya, sejurus selepas itu, dia dan beberapa penduduk kampung berhampiran memotong pokok kayu berkenaan dan mengeluarkan mangsa.
Mangsa yang dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh, Hashnuddin Hussein berkata, seramai tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 5.36 petang.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan dua unit gergaji berantai bagi memotong pokok tersebut sehingga keadaan terkawal dan jalan selamat digunakan orang awam.
“Mangsa telah menerima rawatan awal oleh pasukan bomba Temerloh dan seterusnya dihantar ke Hoshas untuk menerima rawatan selanjutnya,” ujarnya. – K! ONLINE