fbpx

Jambatan kayu Pos Pasik runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jambatan kayu yang menghubungkan perkampungan Orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang runtuh akibat hujan lebat.

GUA MUSANG – Sebuah jambatan kayu yang menghubungkan perkampungan Orang Asli di Pos Pasik di sini runtuh menyebabkan 400 penduduk terkandas.

Jambatan itu runtuh selepas berlaku aliran deras air sungai yang naik secara mendadak berikutan kejadian hujan lebat malam tadi.

Seorang penduduk Orang Asli, Busu Angah, 43, berkata, dia menyedari kejadian itu pada pukul 7 pagi tadi semasa dalam perjalanan untuk keluar ke bandar ini.

Katanya, dia terpaksa berpatah balik untuk menunggu penduduk bergotong-royong bagi membaik pulih jambatan runtuh itu hari ini.

“Ketika ini kami terputus hubungan untuk keluar ke bandar ini bagi membeli barang keperluan.

“Meskipun hanya membabitkan jambatan kayu kecil tetapi ia tidak boleh dilalui semua kenderaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Philip John, 33, berkata, penduduk telah membuat persediaan awal bagi menghadapi musim tengkujuh termasuklah membeli bekalan makanan mencukupi.

Katanya, hujan lebat berterusan menyebabkan mereka sukar keluar ke bandar kerana jalan balak becak dan rosak teruk.

“Kita minta kerajaan membina jambatan yang lebih sempurna menghubung pos itu dengan bandar ini.

“Setiap kali jambatan runtuh penduduk akan bergotong-royong membina kembali jambatan namun tidak bertahan lama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, dia menerima aduan berkenaan kejadian jambatan runtuh.

Katanya, kerja gotong-royong membina jambatan akan dilakukan oleh penduduk kampung dalam masa terdekat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI