UDINE, Itali – Penyerang prolifik AC Milan, Zlatan Ibrahimovic meneruskan rentak cemerlang apabila tendangan akrobatiknya berjaya menyaksikan pasukannya menang 2-1 ke atas Udinese pada aksi Serie A di Stadium Friuli kelmarin.
Ibrahimovic cukup sinonim dengan sepakan ala kung fu tersebut dan kini menyaksikan dia berjaya menjaringkan gol dalam tiga perlawanan Serie A berturut-turut walaupun sudah berusia 39 tahun.
Ketua jurulatih Milan, Stefano Pioli menganggap kehadiran bekas kapten Sweden itu amat penting dalam perkembangan penyerang-penyerang muda yang lain seperti Brahim Diaz.
“Ibrahimovic menyedari kehadirannya mampu meningkatkan prestasi pemain-pemain lain. Dia menunjukkan contoh terbaik kerana masih boleh menampilkan prestasi hebat berbanding pemain-pemain yang lebih muda.
“Perjalanan kami masih jauh tetapi Ibrahimovic tetap mahu membantu kami menghadapi setiap cabaran dan kesukaran sepanjang musim ini,” katanya.
Milan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Franck Kessie dalam babak pertama sebelum Udinese bangkit menyamakan kedudukan selepas Rodrigo De Paul berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-48.
Hajat Udinese meraih sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila Ibrahimovic melompat tinggi dan melakukan sepakan akrobatik untuk meledak gol kemenangan Milan ketika perlawanan berbaki tujuh minit sebelum tamat. – AGENSI