PARIS – Pemain badminton perseorangan wanita Perancis, Leonice Huet meletakkan sasaran untuk memenangi pingat buat negaranya pada temasya berprestij dunia, Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Sebagai rekod, Huet telah membuat kemunculan pertama pada kejohanan bertaraf 750 anjuran Persekutuan Badminton Dunia pada Terbuka Denmark bulan lalu.
Bagaimanapun, laluannya pada kejohanan itu terhenti setakat pusingan kedua sahaja.
Huet yang baru berusia 20 tahun berkata, pengalamannya beraksi pada Terbuka Denmark adalah sesuatu yang cukup berharga dalam usaha mencipta keyakinan agar mampu tampil bersaing sengit di pentas antarabangsa.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi di Terbuka Denmark kerana ia adalah kejohanan bertaraf senior pertama sejak Terbuka Belgium 2019. Walaupun tewas pada pusingan kedua, ia tetap memberi keyakinan untuk saya tampil lebih cemerlang selepas ini,” katanya.
Mengulas lanjut, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Remaja 2018 itu tidak merasakan ia satu kesalahan untuk menyasarkan pingat pada Sukan Olimpik 2024 walaupun perjalanan karier seniornya baru sahaja bermula.
“Saya berdepan banyak cabaran, malah pernah dikritik mengatakan saya tidak cukup bagus untuk mewakili Perancis. Saya mahu buktikan tanggapan itu salah dan akan berusaha sedaya upaya mencipta nama di pentas antarabangsa.
“Memang saya letak harapan tinggi kepada diri sendiri untuk menyumbang pingat buat Perancis pada Sukan Olimpik 2024. Saya tak risau kerana masih ada empat tahun lagi dan sekarang saya perlu serius untuk meningkatkan prestasi,” jelasnya. – AGENSI