MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan menyenaraikan skuad simpanan, sebaliknya mahu menurunkan barisan terbaik untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Olympiakos di Stadium Etihad awal pagi esok.
Guardiola, 49, tidak mahu memandang rendah kemampuan juara Greece itu meskipun sedar pasukan kendaliannya bakal berdepan perlawanan lebih sukar apabila dijadualkan menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu ini.
Dalam masa sama, pengendali dari Sepanyol itu mahu memulihkan situasi permulaan terburuk dalam kariernya selepas beliau sekadar mampu melakar tiga kemenangan, dua seri dan satu kekalahan sepanjang enam perlawanan EPL musim ini.
“Saya tidak akan membuat perubahan besar terhadap kesebelasan utama bertemu Olympiakos kerana kami memerlukan satu kemenangan untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Kami perlu menang apabila beraksi di laman sendiri. Malah, Olympiakos pernah menewaskan Marseille, jadi kami perlu bersiap sedia untuk melayan kunjungan mereka nanti,” tegas Guardiola.
Bekas pengendali Barcelona itu juga mengakui, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi para pemainnya meskipun hanya menjaringkan sembilan gol dalam enam aksi liga setakat ini.
“Saya yakin kami akan kembali menjaringkan lebih banyak gol selepas ini. Apa yang penting sekarang adalah kami masih berjaya mencipta banyak peluang jaringan dalam setiap perlawanan disertai,” ujarnya. – AGENSI