KUALA NERANG – Sekumpulan pelajar sekolah disyaki ahli Geng Bing Garage yang aktif melakukan jenayah curi motosikal di daerah ini sejak awal tahun ini ditahan pada Sabtu lalu hingga kelmarin.
Kesemua suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan dalam lima tangkapan berasingan di sekitar daerah Padang Terap.
Turut ditahan ketua kumpulan tersebut yang berusia 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, ahli kumpulan itu didapati berinteraksi mengenai kegiatan curi menerusi kumpulan WhatsApp.
“Penahanan ahli kumpulan terlibat turut dibuat hasil maklumat yang diperolehi melalui kumpulan WhatsApp tersebut.
“Kita masih memburu empat lagi ahli geng itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap di sini hari ini.
Kata beliau, dalam tangkapan tersebut, pihaknya merampas sebanyak tujuh rangka motosikal, dua buah motosikal dan dua set enjin motosikal.
“Kejayaan menumpaskan kumpulan itu dapat menyelesaikan 10 kes curi motosikal di daerah Padang Terap sejak awal tahun ini,” ujarnya.
Tambahnya, semua suspek yang bersekolah di dua buah sekolah di Padang Terap disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE