fbpx

Eropah kembali berdarah, dua maut serangan di Vienna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis lengkap bersenjata berkawal di Schwedenplatz, pusat bandar Vienna kelmarin. - AFP

VIENNA, Austria – Dua orang termasuk seorang penyerang terbunuh di Vienna petang kelmarin dalam apa yang digambarkan oleh Canselor Austria, Sebastian Kurz sebagai “serangan pengganas yang menjijikkan”.

Polis berkata, terdapat seorang individu yang telah mati dan sebilangan lagi cedera termasuk seorang anggota polis.

Sementara itu, seorang suspek ditembak dan dibunuh oleh anggota-anggota polis, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan di Twitter.

Menteri Dalam Negeri, Karl Nehammer memberitahu stesen penyiaran awam ORF bahawa operasi memburu penyerang masih dilakukan sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan).

Datuk Bandar Vienna, Michael Ludwig memberitahu media tempatan bahawa 15 orang telah dibawa ke hospital dengan tujuh daripada mereka parah.

“Serangan dilakukan oleh beberapa suspek bersenjatakan raifal”, kata polis sambil menambah, ada enam lokasi tembakan yang berlainan.

Tembakan pertama dilepaskan sekitar pukul 8. 00 malam (waktu tempatan) di Seitenstettengasse, pusat bandar Vienna.

Serangan bermula beberapa jam sebelum Austria melaksanakan perintah berkurung koronavirus bagi mengekang penularan Covid-19 dengan bar dan restoran dipenuhi pengunjung yang mahu menikmati malam terakhir sebelum terpaksa berkurung di dalam rumah.

“Polis kita akan bertindak tegas terhadap pelaku serangan keganasan yang menjijikkan ini.

“Kita tidak akan tunduk kepada keganasan dan akan menentangnya dengan segala cara yang ada,” kata Kurtz.

Beliau berkata, sementara polis menumpukan perhatian kepada operasi antikeganasan, tentera akan melindungi bangunan-bangunan penting di Vienna.

Nehammer pula menggesa penduduk Vienna supaya berada di rumah dan menjauhkan diri dari semua tempat awam atau pengangkutan awam.

Lokasi serangan dipercayai bermula berhampiran rumah ibadat komuniti Yahudi.

Presiden komuniti Yahudi Vienna, Oskar Deutsch berkata, tembakan dilepaskan di sekitar rumah ibadat Stadttempel tetapi menambah, dia tidak pasti sama rumah ibadat itu sendiri menjadi sasaran serangan.

Menurutnya, rumah ibadat dan pejabat di lokasi tersebut ditutup pada waktu serangan.

“Kedengaran seperti bunyi mercun dan kemudian baru kami menyedari ia adalah tembakan,” kata seorang saksi kejadian kepada stesen penyiaran ORF.

Seorang penembak melepaskan tembakan rambang dengan senjata automatik sebelum polis tiba dan melepaskan tembakan balas, tambah saksi itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI