GOPENG – Tiga termasuk dua kanak-kanak lelaki maut selepas treler dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Jalan Lama Kota Bharu di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10.15 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Hafizi Nizam, 30, dan dua anak lelakinya masing-masing berusia enam dan lapan tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah akibat tersepit.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 10.28 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng bergegas ke tempat kejadian.
“Tiba di lokasi, anggota mendapati tiga mangsa tersepit di dalam treler muatan simen yang terbalik selepas terbabas ke bahu jalan itu.
“Anggota segera melakukan aktiviti menyelamat mangsa namun berhadapan dengan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Tambahnya, bantuan daripada kren dan jentolak digunakan untuk mengalihkan kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan selepas tiga jam operasi menyelamat dijalankan namun mereka disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah.
“Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi yang dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, polis, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.19 pagi,” katanya. – K! ONLINE