BAYRAKLI, Turki – Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun ditarik keluar dari bawah runtuhan 91 jam selepas gempa bumi kuat berukuran 7 pada skala Richter menggegarkan barat Turki dan mengorbankan lebih 100 orang, kata datuk bandar tempatan dan wartawan di lokasi kejadian.
“Kami menyaksikan keajaiban pada jam ke-91.
“Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa berumur tiga tahun, Ayda Gezgin dalam keadaan masih hidup,” kata Datuk Bandar Izmir, Tunc Soyer di laman Twitter.
Pada awalnya, beberapa pegawai Turki menyatakan bahawa budak perempuan itu berumur empat tahun sebelum menyedari bahawa usianya baru tiga tahun.
Dia memanggil-manggil ibunya ketika dibawa ke sebuah ambulans yang sedang menunggu, kata seorang wartawan agensi berita AFP di tempat kejadian.
Saudara mara dan mangsa terselamat yang tidur di khemah pada jarak selamat dari runtuhan bangunan itu bertepuk tangan dengan sebahagian mereka saling berpelukan dan sebilangan lagi menangis gembira.
“Saya bertanya kepadanya: adik okay? Saya mahu melihat sama ada dia selamat atau sebaliknya. Dia meminta ayran ,” kata pekerja penyelamat, Ahmet Celik merujuk kepada minuman yogurt Turki.
“Saya memberitahu dia bahawa dia akan mendapat ayran kemudian,” tambahnya sambil ketawa.
Terdahulu, anggota-anggota penyelamat berkata, mereka menyedari seseorang masih hidup di lokasi bangunan runtuh itu malam kelmarin sebelum berusaha keras untuk mengeluarkan mangsa.
“Ia suara kanak-kanak, suara budak perempuan,
“Rakan saya, Ahmet melihat tangannya, dan ketika kami membuka (ruang) sedikit lagi, wajah Ayda jelas kelihatan,” kata seorang lagi pekerja penyelamat, Ibrahim Topal.
Topal mengatakan anak kecil itu ditemui di dapur, di ruang kecil yang dihasilkan oleh ketuhar dan barang lain.
“Sejak kami mendengar suaranya, kami tidak peduli betapa lelahnya kami. Kami kembali bertenaga.
“Kami juga sangat gembira,” katanya. – AFP