fbpx

Baju kurung Iris Jasmin RTW menarik, elegan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMILIHAN kain kapas sebagai fabrik baju kurung Iris Jasmin RTW kerana ia selesa, sejuk pada kulit dan cantik dipandang.

MENGGEMARI baju kurung sejak usia remaja membuatkan Siti Fairus Zainuddin Shah, 34, membulatkan tekad untuk mengusahakan perniagaan busana itu dengan jenama Iris Jasmin RTW sejak lima tahun lalu.

Apatah lagi permintaan yang tinggi terhadap baju tersebut membuatkan wanita itu semakin bersemangat mereka pelbagai corak menarik, segar dan cantik.

Menurut pemilik dan pereka Iris Jasmin RTW itu, dia mengetengahkan baju kurung moden yang memenuhi cita rasa orang muda.

“Koleksi baju kurung yang paling laris ialah Iris Basic Kurung, Iris Bloom Series, Iris Luxe Batik, Iris Jasmin Luxe dan Iris Lacey Lace.

“Antara corak yang mendapat sambutan tinggi ialah titik berbentuk bintang, burung terbang, bulu burung, origami, kapal terbang kertas dan bunga-bungaan yang mempunyai motif bersaiz kecil serta comel,” katanya yang berasal Muar Johor itu.

 

JENAMA Iris Jasmin RTW sentiasa mengikut perkembangan fesyen terkini dalam menghasilkan motif menarik untuk baju kurung.

 

Tutur anak bongsu daripada lima beradik itu, baju kurung rekaannya itu boleh digayakan ke kelas, pejabat dan majlis kenduri.

Tambahnya, setiap koleksi itu dikeluarkan secara bermusim merupakan edisi terhad kecuali Iris Basik Kurung yang dihasilkan setiap hari.

Mengulas mengenai pemilihan warna, wanita itu berkata, setiap musim pengeluaran baju kurung itu akan menggunakan tema rona berbeza.

Kesemua baju kurung di bawah jenama itu menggunakan pelbagai jenis fabrik kapas seperti Oxford, linen, batik dan viscous.

Siti Fairus memberitahu, dia memilih kain kapas kerana fabrik itu sangat selesa, sejuk pada kulit dan apabila dipakai ia terletak cantik pada badan.

Iris Jasmin RTW menawarkan baju kurung moden panjang iaitu 36 inci dan pendek dengan ukuran 26 inci.

Kain pula didatangkan dengan potongan duyung dan berbentuk A.

“Bagi yang berbadan besar sesuai menggayakan kain berbentuk A itu.

“Kami menyediakan saiz baju bermula XS hingga XL namun, bagi mereka yang ingin mendapatkan saiz lebih besar boleh membuat tempahan awal,” terang pemegang Ijazah Sarjana Rekaan Teknologi (Fashion Retail) di Universiti Teknologi Mara itu.

 

HARGA sepasang baju kurung rekaan terkini adalah di bawah RM200.

 

Bercerita lanjut mengenai idea atau inspirasi untuk menghasilkan motif-motif menarik itu, Siti Fairus memberitahu, dia sentiasa mengikut perkembangan terkini.

Dia suka mengambil corak baju kemeja dan diterapkan ke dalam rekaan busana tersebut.

Siti Fairus mengambil masa sekitar tiga minggu untuk menyiapkan keseluruhan proses bermula daripada lakaran corak sehingga mencetaknya ke atas kain.

Harga bagi sepasang baju kurung adalah di bawah RM200.

“Saya tidak mahu meletakkan harga terlalu tinggi bagi membolehkan semua orang boleh memilikinya.

“Pelanggan biasanya membeli lebih dari satu pasang baju kurung kerana harga berpatutan dan kualiti jahitan yang sangat baik,” katanya yang meminati senaman yoga pada masa lapang.

Mereka yang ingin mendapatkan baju kurung tersebut boleh membuat belian secara online di Instagram rasmi jenama itu.

Pengguna akan mendapat baju tersebut dalam masa dua atau tiga hari bergantung kepada lokasi mereka berada.

Bagi pra tempahan khas untuk pelanggan yang ingin mendapatkan baju bersaiz besar dan permintaan warna, boleh mendapatkan busana tersebut dalam masa seminggu.

Pada masa akan datang, Siti Fairus merancang untuk menghasilkan dres panjang yang juga menggunakan kain kapas dengan corak-corak sangat kecil serta manis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI