fbpx

Baca al-Quran di sisi jasad menantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tular menunjukkan Roslan membaca al-Quran di sisi jasad menantunya yang maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Bukit Katil semalam.

MELAKA – Suasana pilu berlaku di Jalan Bukit Katil di sini semalam apabila seorang lelaki, Roslan Ramlan, 54, dilihat bersila di sisi jasad menantunya, Muhammad Zulhilmi Razali yang dilaporkan telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Dalam kejadian itu, Zulhilmi, 26, disahkan maut selepas motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggangnya merempuh hadapan sebuah kereta Perodua Myvi.

Menurut Roslan, walaupun sedar Zulhilmi telah meninggal dunia, dia tetap mengajarkan menantunya itu mengucap dua kalimah syahadah selain membaca ayat suci al-Quran.

Katanya, sebelum kejadian, dia dan menantunya keluar rumah bersama-sama dengan me­nunggang motorsikal berasingan untuk ke tempat kerja.

“Saya berada di belakang dia (Zulhilmi) dan merancang berhenti singgah di kedai berdekatan untuk bersarapan, namun saya membatalkan niat itu dan meneruskan perjalanan.

“Kira-kira lima minit selepas itu, saya melihat satu kemala­ngan dan berhenti untuk melihat keadaan mangsa. Tidak sangka pula mangsa yang terlibat adalah menantu saya sendiri,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Islam di Bukit Duyong di sini semalam.

Zulhilmi yang baharu men­dirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu meninggalkan seorang balu dan bayi perempuan berusia 10 bulan.

Kisah Roslan duduk bersila sambil membaca ayat suci al-Quran di sisi menantunya sempat dirakam orang ramai sebelum tular media sosial.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, menantunya itu adalah seorang suami yang berakhlak tinggi dan amat menyayangi isteri serta keluarganya.

“Arwah sekeluarga tinggal bersama-sama saya dan isteri, jadi kami memang memuji sikapnya yang tidak pernah meninggi suara kepada isteri, sering membantu isterinya di dapur dan suka me­lakukan kerja-kerja rumah.

“Saya sudah menganggap Zulhilmi seperti darah daging saya sendiri dan pemergiannya ini satu kehilangan besar dalam keluarga kami,” katanya sebak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI