Susunan MUHAMMAD HELMEE RAMLI
WAKIL Korea Selatan, Damwon Gaming memastikan mereka membawa pulang trofi Kejohanan Dunia permainan video League of Legends (LoL) selepas membenam cabaran pasukan dari China, Suning Gaming menerusi kemenangan 3-1 kelmarin.
Pada saingan yang berlangsung di Stadium Shanghai dan dihadiri kira-kira 6,300 penonton selain ditonton oleh jutaan peminat secara dalam talian, Damwon membuktikan kemampuan apabila memenangi kejohanan edisi ke-10 itu.
Difahamkan, pihak penganjur menerima lebih tiga juta permohonan tiket bagi menyaksikan aksi penentuan yang dilangsungkan di stadium bola sepak berkapasiti 35,000 tempat duduk itu.
Bagaimanapun, hanya 6,300 penonton bertuah sahaja dibenarkan masuk bagi menyaksikan perlawanan akhir itu kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta penjarakan fizikal bagi mengekang pandemik Covid-19.
Kemenangan yang dilakar Damwon itu sekali gus menamatkan penguasaan pasukan e-Sukan dari China dalam kejohanan tersebut apabila pasukan tuan rumah berkenaan menjulang trofi kejuaraan dua kali berturut-turut pada 2018 dan 2019.
Memandangkan perlawanan akhir itu berlangsung di China, sokongan pastinya terarah kepada Suning, namun ia langsung tidak mematahkan semangat Damwon untuk melakar kemenangan, sekali gus meleburkan harapan penyokong tuan rumah.
Walaupun hanya ditonton lebih kurang 6,300 orang di dalam stadium, namun perlawanan tetap berlangsung meriah dengan tepukan serta sorakan gemuruh peminat-peminat.
Pembangun permainan video berkenaan, Riot Games mendedahkan, perlawanan akhir yang dianggap epik itu ditonton lebih 100 juta penonton di seluruh dunia menerusi penstriman langsung di media sosial.
Pemain utama Damwon, Kim Geon Bu yang dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) sepanjang kejohanan yang berlangsung sejak 25 September lalu mengakui impiannya untuk bergelar juara dunia sudah terlaksana.
“Saya pernah cakap sebelum ini untuk menjadi MVP serta menjulang trofi kejuaraan. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata apabila kami berjaya merealisasikan impian tersebut, saya sangat gembira.
“Penghargaan serta pujian harus diberikan kepada semua pemain serta barisan kejurulatihan kerana sentiasa bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Kerjasama erat antara rakan sepasukan menjadi faktor kejayaan ini,” ujar Geon Bu.
Meskipun tidak didedahkan berapakah jumlah hadiah wang tunai yang ditawarkan pada kejohanan itu, namun difahamkan jumlah minimum adalah AS$2.25 juta (RM9.2 juta) atau lebih.
Pada edisi 2018, jumlah hadiah wang tunai yang ditawarkan pada kejohanan dunia permainan video bergenre strategi itu adalah kira-kira AS$7 juta (RM29 juta), sekali gus dianggap antara kejohanan e-Sukan paling mahal di dunia.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Riot Games, Nicolo Laurent berkata, kejohanan kali ini boleh dianggap antara perjalanan paling sukar kerana perlu berdepan dengan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
“Banyak aktiviti sukan serta acara-acara lain terpaksa dibatalkan tahun ini gara-gara koronavirus. Bagaimanapun, saingan e-Sukan League of Legends menunjukkan ketahanannya apabila terus dianjurkan.
“Secara jujur, saya tidak yakin kejohanan dunia boleh dianjurkan tahun ini tetapi Shanghai membuktikan mereka semakin hampir untuk menjadi ‘ibu negara’ kepada saingan e-Sukan menerusi penganjuran kali ini,” tegas beliau. – AFP