ISKANDAR PUTERI – Keseronokan 25 tahi judi termasuk dua wanita yang leka bermain judi laga ayam terbantut apabila diserbu polis dalam kejadian di Kangkar Pulai petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 23 hingga 62 tahun.
Jelasnya, kegiatan itu terbongkar selepas anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Iskandar Puteri menyerbu kawasan tersebut pukul 5 petang.
“Judi laga ayam itu dianjurkan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dengan wakti operasi hanya pada hari Ahad sahaja. Markas perjudian terletak satu kilometer (km) dari jalan utama.
“Asalkan ada ayam dan duit boleh berjudi laga ayam. Yang menyaksikan judi laga ayam juga boleh turut serta berjudi dengan meletakkan wang mereka di tepi gelanggan laga ayam,” katanya pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, kesemua suspek terdiri daripada 10 warga Indonesia, empat pemegang status penduduk tetap (PR), 11 lelaki warga tempatan dan dua wanita tempatan didapati negatif ujian saringan air kencing.
“Kita turut merampas 13 ekor ayam, tiga kanvas khemah, sebuah tog gas, satu gelanggang ayam, lima buah kerusi plastik, sebuah meja, sebuah generator dan wang taruhan RM 7,307.
” Difahamkan nilai taruhan bagi laga ayam paling tinggi RM 500 dan harga seekor ayam laga yang digunakan dianggarkan boleh mencecah harga RM 5,000,” katanya.-K! ONLINE