fbpx

UPM perkenalkan Pakej UPM Prihatin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menyalurkan bantuan serta mengecualikan bayaran untuk beberapa perkara kepada pelajar tempatan dan antarabangsanya bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Prof. Dr. Daud Ahmad Asraf Ali berkata, perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang diadakan 28 Oktober lalu.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, mereka telah memperkenalkan Pakej UPM Prihatin dengan mewujudkan beberapa insentif.

“Bagi setiap pelajar baharu Universiti Putra Malaysia sesi 2020/2021, pakej Meal Plan yang sebelum ini diwajibkan akan dipulangkan semula kepada pelajar dengan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.4 juta.

“Pakej UPM Prihatin juga turut memberikan pengecualian bayaran penginapan kepada semua pelajar yang menginap di dalam kampus sepanjang semester satu sesi 2020/2021 bermula bulan lalu sehingga Februari 2021. Kos keseluruhan yang terlibat adalah sebanyak RM6.65 juta,” katanya di sini tadi.

Daud Ahmad berkata, pelajar mereka turut mendapatkan pengurangan yuran kolegiat dan perkhidmatan sebanyak 15 peratus dengan jumlah pulangan melibatkan kos sebanyak RM1.31 juta.

Selain itu, katanya, bantuan kewangan turut disediakan bagi pelajar yang kurang berkemampuan melalui pakej UPM Prihatin.

“Kumpulan pelajar asnaf dan B40 akan memperolehi manfaat dengan dana yang disediakan oleh pihak Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dengan peruntukan disediakan sebanyak RM1.5 juta

“Bantuan Pelan data sebanyak 40 gigabait dan peranti turut disediakan bagi golongan asnaf dan B40 yang sebelum ini terpaksa meminjam, berkongsi ataupun ke pusat internet bagi mengikuti kelas pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara online,” jelasnya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI