DUNGUN – Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengambil inisiatif membina Taman Kucing sebagi tarikan pelancongan terbaharu di Taman Rimba Bukit Bauk di sini.
Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat berkata, taman yang seluas empat hektar itu dilengkapi lima sangkar yang mampu memuatkan 150 ekor kucing pada satu-satu masa.
“Setakat ini, Taman Kucing ini menempatkan 30 kucing jalanan yang pernah diselamatkan dalam operasi dijalankan MPD.
“Inisiatif membuka taman ini diambil selepas lapan tahun MPD mengambil usaha menyelamatkan kucing-kucing terbiar di daerah ini,” katanya sewaktu melawat Taman Kucing di sini hari ini.
Lizan berkata, sebelum kucing-kucing terbiar yang telah dipungut di kawasan pasar dan tempat awam di sekitar daerah ini ditempatkan di Teluk Lipat di sini.
Beliau berkata, kucing-kucing jalanan itu kini ditempatkan di Taman Kucing berkenaan yang jauh lebih selesa untuk haiwan tersebut.
“Taman Kucing ini telah dibuka untuk kunjungan orang ramai sejak bulan Julai lalu. Tiada caj kemasukan dikenakan,” katanya. – K! ONLINE