PETALING JAYA- Kerajaan disaran agar berbelanja untuk mengambil lebihan bekalan buruh dan menggajikan mereka bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti membina model ekonomi dan masyarakat.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, skim jaminan pekerjaan itu bertujuan mengatasi masalah penggangguran.
Jelas beliau, kerajaan boleh mewujudkan pekerjaan dalam beberapa aktiviti ekonomi yang tidak memerlukan kepakaran mendalam dan berunsur kemasyarakatan.
Antaranya kerja baik pulih sekolah dan taman permainan di serata negara, selain penjagaan kesihatan.
“Mengapa hanya pesakit T20 mampu bayar jururawat swasta manakala B40 terpaksa bergantung kepada ahli keluarga yang mungkin terpaksa berhenti kerja? Kerajaan latih dan sediakan tenaga buruh untuk menjaga golongan sakit dan tua di rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Katanya, kerajaan juga boleh menyediakan individu untuk membersihkan pantai dan alam sekitar.
“Mungkin tiada keperluan mendesak menambah guru. Tetapi berapa kali kita dengar keluhan tenaga pengajar bahawa mereka dibebani tugasan kertas kerja atau “administrative tasks”? Kerajaan sediakan tenaga kerja pembantu guru di seluruh negara,” tambahnya.
Ujar beliau, cadangan itu disifatkan ibarat sambal menyelam minum air dengan menyelesaikan pengangguran disamping membina masyarakat yang lebih murni, moden, hijau, dan penyayang.
Katanya, contoh-contoh aktiviti ekonomi tersebut lazimnya tidak akan terlaksana melalui kebergantungan kepada sektor swasta.
“Tiada syarikat yang akan secara relanya membelanjakan untuk bersihkan pantai atau mendigitalisasi buku kecuali jika diberi kontrak oleh kerajaan,” katanya. -K! ONLINE