fbpx

Silibus e-Sukan diperkenalkan di sekolah-sekolah Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HISHAM (kiri) menyampaikan jersi ESKL kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (tengah) yang merupakan penaung My Game On Stay At Home. – FACEBOOK ESKL

PERANCANGAN rapi yang dijalankan oleh Persatuan Sukan Elektronik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (ESKL) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) untuk menjadikan e-Sukan sebagai silibus di semua sekolah menengah di Kuala Lumpur bakal direalisasikan pada awal tahun depan.

Usaha yang telah dijalankan sejak September tahun lalu sepatutnya dilancarkan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum bermula Jun lepas tetapi ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Presiden ESKL, Hisham Darus mengakui usaha untuk mempromosikan e-Sukan perlu dilakukan di peringkat akar umbi sekali gus mengubah persepsi bidang itu secara menyeluruh kepada pelajar, ibu bapa dan guru.

“Meskipun sudah membuat persediaan awal sejak tahun lalu, perbincangan terpaksa ditangguhkan kerana Covid-19 dan kini kami menyasarkan pengenalan silibus e-Sukan pada suku pertama tahun depan.

“Jika dapat dilaksanakan se­awal bulan permulaan sesi persekolahan pada Januari lebih baik, tetapi kalau tidak, paling lewat pun adalah Mac nanti dan saya harap kali ini segalanya berjalan lancar.

“Saya percaya apabila pem­belajaran e-Sukan ada di peringkat sekolah, ia dapat memberi manfaat besar dan paling utama, membuka mata bukan hanya pelajar, malah ibu bapa, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

ESKL mahu mengetengahkan permainan video seperti FIFA 21, PES 2021 dan F1 sebagai judul silibus percubaan kepada pelajar-pelajar sekolah di Kuala Lumpur. – Gambar hiasan

Mengulas lanjut, Hisham percaya jika ia berjaya dilaksanakan di Kuala Lumpur, tidak mustahil persatuan e-Sukan serta majlis sukan di negeri lain akan be­kerjasama dan berusaha untuk membawa silibus ini ke peringkat nasional.

“ESKL sememangnya meletak­kan harapan tinggi untuk menjadi perintis agar silibus ini boleh dibawa sebagai agenda nasional pada masa depan. Secara jujur, remaja kita semua sudah menuju ke arah digital dengan mempu­nyai akses kepada telefon pintar serta konsol permainan video.

“Justeru, tidak salah jika mereka memanfaatkan apa yang ada dengan menambahkan sedikit fokus bagi memastikan platform e-Sukan ini digunakan ke arah positif dan saya percaya hanya pembelajaran di sekolah boleh merealisasikan harapan tersebut.

“Apa yang pasti, besar cita-cita kami dalam usaha meningkatkan lagi ranking Malaysia sebagai peneraju e-Sukan di Asia Tenggara memandangkan ketika ini kita hanya menduduki tangga keempat di belakang Indonesia, Singapura dan Filipina,” katanya.

Meskipun kos untuk mele­takkan kokurikulum e-Sukan ke peringkat sekolah agak tinggi, Hisham mengakui bantuan yang diberikan oleh MSWP dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah banyak memberi bantuan.

“Kita tidak boleh buat kerja sewenang-wenangnya dalam usaha mempromosikan e-Sukan kerana silibus kokurikulum amat pen­ting. Perancangan kami selepas ini mungkin bakal adakan kejohanan e-Sukan di peringkat sekolah dan wilayah Kuala Lumpur.

“Justeru, semuanya memakan kos tinggi tetapi saya sangat gembira kerana MSWP dan KBS banyak membantu dan saya rasa nanti kita tidak akan mempunyai masalah bagi mencungkil bakat-bakat baharu,” kataya.

Pada masa sama, Hisham mengesahkan hanya tiga permainan video yang dicadangkan untuk dimasukkan sebagai silibus di peringkat sekolah iaitu FIFA 21, Pro Evolution Soccer (PES) 2021 dan Formula Satu (F1).

“Sebagai permulaan, FIFA 21, PES 2021 dan F1 menjadi judul percubaan untuk diketengahkan kepada pelajar. Kami bukan tidak mahu membawa masuk permainan video terkenal se­perti Mobile Legends, Dota dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), tetapi takut tanggapan itu akan berubah menjadi negatif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN