JAKARTA – Presiden Jokowi bernikah lagi! Mungkin itu gambaran pertama terlintas apabila melihat foto seorang lelaki berwajah mirip Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra dengan gelaran Jokowi yang tular di media sosial.
Gambar yang dimuat naik di akaun Facebook Arta Pratama Rias Pengantin itu mencetuskan ‘kekecohan’ dalam kalangan netizen apabila pengantin lelaki tersebut yang bernama Sukiman bergambar bersama isterinya, Rohani.
“Presiden kita kahwin lagi, wow!,” komen seorang pengguna Facebook.
“Haaa, ‘Jokowi’ menikah lagi,” tulis seorang pengguna lain yang rata-rata bersetuju wajah Sukiman yang berasal dari Gapuk Lauk, Lombok Timur sangat mirip dengan pemimpin nombor satu Indonesia itu.
Menurut pemilik akaun Facebook yang memuat naik foto itu, Edi Hartadi, dia baru menyedari wajah suami kepada wanita yang disolek untuk majlis perkahwinan baru-baru ini itu sangat mirip dengan Jokowi.
Ketika menghadiri majlis perkahwinan tersebut, dia beranggapan wajah Sukiman adalah lebih mirip pelawak Indonesia bernama Dede Sunder.
Namun begitu, Edi tergamam apabila menerima kiriman foto jurugambar pada majlis perkahwinan tersebut yang berlangsung pada 29 Oktober lalu.
“Jurugambar saya terkejut melihat gambar pasangan pengantin kerana lelaki itu kelihatan seperti Jokowi,” katanya.
Kata Edi, dia tidak menyangka tindakannya memuat naik foto itu di Facebook menjadi bualan netizen yang sukar mempercayai bahawa wajah Sukiman begitu menyerupai Jokowi.
Untuk makluman, Presiden Jokowi hanya mempunyai seorang isteri bernama Iriana Joko Widodo yang dinikahinya pada tahun 1986. – Agensi