KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi mengesahkan pegawai khas yang juga adiknya Ras Afiona didapati positif Covid-19.
Jelas Ras Adiba, Ras Afiona disahkan dijangkiti Covid-19 selepas melakukan ujian saringan baru-baru ini dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.
“Untuk makluman semua saya dan 10 lagi ahli keluarganya juga sedang menunggu keputusan saringan Covid-19.
“Dalam kesempatan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya menyusahkan mana-mana pihak susulan kejadian yang menimpa saya dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pagi tadi, Dewan Rakyat meluluskan usul yang menetapkan bahawa sidang harian pada minggu ini akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari sahaja kecuali pada Jumaat apabila Belanjawan 2021 dibentangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan ketika membentangkan usul itu berkata, langkah itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selepas beberapa kakitangan dan Ahli Dewan Negara disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat. – K! ONLINE.