SHAH ALAM – Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor mengesahkan menerima kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pelanggaran perintah kuarantin dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Saifudin Shafi Muhammad berkata, siasatan itu mengikut Seksyen 15 dan 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Katanya, walaupun siasatan baru sahaja bermula, namun ditegaskan Amirudin tidak melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) seperti didakwa.
“Amirudin telah pulang dari Sabah pada 28 September lalu dan terus menjalani saringan Covid-19 menggunakan kaedah RT-PCR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan keputusan didapati negatif pada keesokkan harinya.
“Mengikut direktif Kerajaan Persekutuan, kuarantin tidak perlu dijalankan untuk individu yang dikesan negatif saringan ujian RT-PCR sesuai dengan kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan , Amirudin turut diberi surat pelepasan HSO ekoran keputusan ujian tersebut, namun atas prinsip kebertanggungjawaban beliau tetap menjalankan kuarantin kendiri sebagai langkah berhati-hati. -K! ONLINE