SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis di negeri ini supaya lebih tegas dalam pemantauan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa kecewa kerana masih terdapat segelintir pihak yang tidak mengambil serius, lalai dan ingkar dalam mematuhi arahan PKPB khususnya pengendali premis-premis hiburan dan makanan.
“Baginda khuatir sekiranya kedegilan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) di bawah PKPB ini berterusan, penularan wabak berbahaya Covid-19 ini akan sukar untuk dibanteras sepenuhnya,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.
Untuk rekod Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sejumlah 225 kes, semalam.
Dalam perkembangan berlainan, Sultan Sharafuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada dua petugas Hospital Sungai Buloh, Selangor yang menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global (GHA 2020) baru-baru ini.
Dua petugas berkenaan adalah Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr. C. Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi, Dr. Shaiful Azman Zakaria.
“Baginda amat berbangga dengan pencapaian cemerlang yang dicatatkan petugas-petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh khususnya dan di Selangor amnya, yang telah menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam usaha menghapuskan wabak berbahaya Covid-19.
“Justeru, diharap para petugas barisan hadapan terus tabah dan cekal dalam menjalankan tugas masing-masing merawat pesakit Covid-19,” katanya. – K! ONLINE