PORT DICKSON: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing bersama rakannya di Pulau Asam, Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang di sini lewat petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4.30 petang dan tiba di lokasi pada pukul 5.30 petang.
“Mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan pergi memancing bersama seorang lagi rakannya pada pukul 3 petang semalam. Menurut rakannya, mangsa dikatakan mengharungi air laut ke sebuah kelong bersebelahan dengan Pulau Asam.
“Namun, tidak lama kemudian mangsa dilihat terkapai-kapai meminta bantuan,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Mohd. Kamal, pihak bomba melakukan operasi pencarian di permukaan air kerana tiada selaman dilakukan pada waktu malam.
“Kami telah melakukan operasi pencarian mangsa, namun sehingga pukul 12 tengah malam, mangsa gagal ditemui. Pihak bomba akan menyambung operasi pencarian pada pukul 8 pagi hari ini,” katanya. -K! ONLINE