LIVERPOOL – Pengurus West Ham United, David Moyes menyifatkan, pengadil terpedaya dengan lakonan pemain Liverpool, Mohamed Salah untuk meraih sepakan penalti yang menyaksikan pasukannya tewas 1-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam.
Dalam aksi itu, West Ham berjaya mendahului menerusi jaringan Pablo Fornals sebelum The Reds bangkit memenangi perlawanan melalui sepakan penalti Salah dan percubaan daripada Diogo Jota.
Moyes, 57, mengakui, sangat kecewa dengan kelakuan Salah yang didakwanya sengaja memperbesar-besarkan terjahan daripada pemain pertahanan West Ham, Arthur Masuaku dalam kawasan kotak penalti The Hammers.
“Saya tidak tahu bagaimana penalti tersebut boleh dihadiahkan kepada Liverpool kerana sentuhan yang sangat minimum daripada Masuaku. Salah sengaja merebahkan badan dan reaksinya agak keterlaluan.
“Jika penalti tidak diberikan, mungkin kami boleh meraih keputusan positif pada perlawanan ini. Namun, ia sudah berakhir dan nasib tidak menyebelahi kami.
“Apa yang pasti, saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain yang bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan. Mereka berjaya memberi tekanan kepada Liverpool yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri,” katanya.
Keputusan tersebut menyak sikan rekod cemerlang West Ham tanpa kekalahan dalam tiga perlawanan EPL berturut-turut sebelum ini akhirnya lebur di tangan Liverpool. – AGENSI