SERI ISKANDAR – Tiga kenderaan milik tiga beradik terbakar dalam kejadian di Rancangan Perumahan Awam (RPA), Changkat Sodang di sini awal pagi tadi.
Perodua Kancil, Perodua Viva dan sebuah van jenis Toyota Hiace masing-masing terbakar 90, 80 dan 30 peratus dalam kejadian pada pukul 1.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Barudin Wariso berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya wujud unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Sekiranya berlakunya unsur jenayah, polis akan mengambil alih siasatan lanjut. Seorang daripada pemilik kenderaan juga sudah membuat laporan polis pada 10.14 pagi.
“Bahagian forensik polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak juga ke lokasi menjalankan siasatan awal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! tadi.
Beliau berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan anggota bomba yang digerakkan ke lokasi.
Barudin berkata, siasatan masih dijalankan oleh unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti jika kejadian mempunyai unsur jenayah. -K! ONLINE