SHAH ALAM – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung hari ini kecoh selama 10 minit gara-gara isu pakaian kumpulan pembangkang yang memakai baju kebangsaan.
Ia berikutan teguran Speaker DUN, Ng Suee Lim yang menyatakan kesemua wakil rakyat tersebut melanggar peraturan yang ditetapkan dalam etika berpakaian ketika sesi tersebut.
Mereka yang memakai baju kebangsaan itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar merangkap Ketua Pembangkang, Rizam Ismail; ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsudin Lias;Datuk Mohd. Imran Tamrin ( ADUN Sungai Panjang); Zakaria Hanafi (ADUN Semenyih) dan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (ADUN Sijangkang).
“Saya telah tetapkan bahawa hari biasa perlu memakai baju long suit manakala Jumaat pula dibenarkan memakai baju Melayu.
“ADUN adalah pemimpin yang dipilih rakyat dan mereka perlulah matang. Bagaimana rakyat melihat ADUN yang mereka pilih tetapi tidak patuh pada peraturan yang ditetapkan,” katanya Suee Lim.
Bagaimanapun, Mohd. Imran mempertahankan tindakan memakai pakaian kebangsaan sepanjang sesi sidang berlangsung kerana tiada penetapan peraturan berhubung perkara tersebut. -K! ONLINE