Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
BENTONG – Dua sahabat baik yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 26 Jalan Utama Felda Mempaga di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 pagi itu, penunggang motosikal, Muhammad Fikrie Mohd Azhari ,15, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng, Muhammad Haziq Iskandar Khairul Amir, 15, menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis berkata, semasa kejadian kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sertik itu dalam perjalanan dari Felda Mempaga ke Sertik.
“Setiba di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang datang dari arah hadapan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE