SEBERANG PERAI – Seorang penganggur yang mengugut jirannya dengan sebilah pisau ditahan polis selepas mengamuk di hadapan sebuah rumah di Lahar Tambun, Tasek Gelugor di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun itu dicekup selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh seorang wanita warga emas.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila suspek naik angin selepas mangsa berusia 62 tahun pergi ke rumahnya bagi bertanyakan mengenai pintu rumahnya yang dirosakkan.
“Sebelum itu, mangsa sedar bahawa pintu rumahnya rosak dan bertanyakan kepada anak saudara yang juga jirannya kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Jiran tersebut memberitahu bahawa suspek yang menendang pintu rumahnya pada waktu awal pagi sebelum wanita itu pergi ke rumah suspek untuk bertanya berhubung kejadian itu.
“Namun suspek terus mengamuk dan mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, pihaknya telah menahan suspek petang tadi bersama sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa.
Beliau menambah, siasatan lanjut pihaknya mendapati pintu rumah mangsa rosak dipercayai akibat ditendang.
“Mangsa mendakwa menyedari bunyi bising seperti pintu ditendang ketika tidur kira-kira pukul 4 pagi, namun menganggap bunyi itu dari rumah jirannya.
“Pada sebelah bagi barulah dia menyedari kejadian tersebut,” katanya lagi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE