fbpx

Black selami cinta si bapa tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BLACK

SEMEMANGNYA jodoh dan pertemuan aturan Ilahi, namun sebagai manusia, kita tidak boleh hanya berserah sebaliknya merancang untuk hidup, seterusnya mencari bahagia tanpa menyakitkan hati orang lain.

Melayari bahtera alam rumah tangga juga menuntut pengorbanan, sekali gus menguji sejauh mana tahap kesabaran dan kesetiaan dalam diri semua.

Jika rintangan awal berjaya diharungi, bermakna perjalanan seterusnya pasti boleh ditempuhi. Apa yang penting, sabar perlu ada dalam diri untuk mengharungi cabaran mendatang.

Itu antara mesej yang ingin disampaikan penyanyi terkenal, Black Hanifah menerusi video muzik lagu Sabar yang dilancarkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 26 Oktober lalu.

Menurut Black, video muzik yang menjalani penggambaran selama dua hari tersebut memaparkan kehidupan sebenar segelintir masyarakat terutama si lelaki berstatus duda dan mempunyai anak yang ingin berkahwin semula.

BLACK kembali menemukan jati diri muziknya menerusi lagu Sabar yang merentak balada.

“Video muzik ini mengisahkan lelaki duda yang ada anak. Dia kemudiannya nak bercinta dengan seorang wanita. Malangnya, wanita itu hanya mahu menerima dirinya tetapi tidak anaknya.

“Di depan, wanita itu berpura-pura menyukai anaknya, tetapi di belakang bersikap sebaliknya. Sehingga akhirnya, lelaki itu dikecewakan tetapi terubat dek kasih sayang daripada si anak.

“Kisah sebegini memang berlaku dalam masyarakat kita. Jadi, saya ingin paparkan yang mana tidak salah seorang duda untuk bercinta dan berkahwin lagi. Tetapi, tidak semua melalui pengalaman indah,” katanya.

Berkongsi mengenai video muziknya lagi, Black berkata, proses pembikinan memberinya pengalaman baharu apabila berlakon dengan pelakon kanak-kanak perempuan yang memerlukan penghayatan dan emosi sesuai dengan melodi Sabar.

“Sejujurnya, tidak ada masalah untuk buat video muzik ini. Pelakon wanita dan kanak-kanak membawa watak masing-masing dengan baik. Biarpun saya tak pernah buat babak sebegini dalam video muzik sebelum ini, tapi ia tidak terlalu mudah dan susah. Cuma, untuk pelakon kanak-kanak mendapatkan ‘mood’ sedih itu yang mengambil sedikit masa.

“Keunikan video muzik ini adalah dari segi nyanyian lagu ini. Apa saya rasa, dilontarkan sepenuhnya. Penonton yang rapat dengan keluarga, pasti lebih terkesan,” katanya.

Sabar yang hasil dalam rentak balada merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Black, sekali gus mengembalikan identiti muzik asal dalam dirinya.

DALAM video muzik Sabar, Black melakonkan watak bapa tunggal yang dikecewakan cinta wanita kerana tidak menerima anaknya daripada perkahwinan terdahulu.

Apa yang menarik, lagu itu sudah disimpan sejak empat tahun lalu dan baru tahun ini Black mempunyai keyakinan untuk melancarkannya sekali gus mengembalikan kegemilangan kerjaya nyanyiannya.

“Apa yang boleh saya katakan lagu Sabar ini berlainan daripada lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Sabar ada balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau menyanyi pun memang menjiwai sepenuhnya.

“Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman awal saya dahulu. Kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya. Proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat sahaja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik,” katanya.

Sementara itu, pengarah video muziknya Azuad Abdullah, 29, berkata, pihaknya memberikan dua idea dari segi jalan cerita dan Black memilih idea kedua iaitu seperti apa yang dipaparkan dalam video muzik Sabar.

“Kami mengemukakan dua jalan cerita. Selepas perbincangan bersama Black, dia suka idea nombor dua. Jadi, kami menerangkan kepadanya jalan cerita penuh video muzik berkenaan.

“Alhamdulillah, penggambaran yang dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan lancar. Satu hari membabitkan lakonan dan sehari lagi untuk rakaman nyanyian lagu.

“Disebabkan Black pun banyak pengalaman berlakon, jadi dia tidak ada masalah untuk membawa watak yang diberikan. Saya terangkan watak dan ‘mood’ pun dia faham.

Begitu juga dengan pelakon watak wanita dewasa. Mereka tidak perlu lakukan banyak babak. Cuma, cabaran pada pelakon kanak-kanak sahaja. Alhamdulillah, keserasian antara mereka dapat dirakam,” katanya.

Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan menerusi semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer sejak 24 Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI