JOHOR BAHRU – Dianggarkan lebih 3,000 agensi pekerjaan di bandar raya ini berdepan situasi sukar akibat terkesan dengan dasar tutup pintu sempadan melibatkan Malaysia dan Singapura bagi membendung penularan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.
Lebih memburukkan keadaan, situasi itu bukan sahaja melibatkan agensi pekerjaan tempatan, malah membabitkan agensi yang mengurus pekerja Malaysia di Singapura.
Difahamkan, hampir 1,000 daripada syarikat yang menjalankan perniagaan berkenaan terpaksa gulung tikar dan menghentikan operasi mereka.
Pengurus Besar Agensi Inter Island Sdn. Bhd., Jack Lim berkata, kos pengurusan operasi yang terlalu tinggi antara faktor utama agensi terpaksa ditutup.
“Kos operasi biasanya tidak tetap bergantung kepada saiz operasi sesebuah syarikat, ada yang besar dan ada yang kecil. Kos operasi pula ada yang mencecah RM200,000 sebulan.
“Kalau sebulan dua mungkin boleh tampung, tetapi kini sudah enam bulan, mereka tidak sanggup tanggung kerugian dan lebih baik tutup,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Jack berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kebanyakan syarikat berkenaan juga hanya bergantung kepada perkhidmatan mencari pekerja tanpa terlibat dalam mana-mana sektor lain.
“Apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dan pintu sempadan negara melalui Tambak Johor dan Linkedua ditutup, maka ramai yang hilang kerja dan agensi pun tak dapat beroperasi.
“Agensi yang tutup ini pula hanya bergantung kepada satu bisnes dan sebab itu mereka tidak boleh bertahan,” katanya.
Pintu sempadan Malaysia dan Singapura menerusi Tambak Johor di sini dan Linkedua, Tuas mula ditutup sejak 18 Mac lalu selepas Malaysia melaksanakan PKP bagi mengekang Covid-19.
Namun, Malaysia dan Singapura bersetuju membuka sedikit pintu sempadan bermula 17 Ogos lalu mengambil kira hubungan diplomatik yang baik dan faktor ekonomi.
Malaysia-Singapura setuju melaksanakan dua skim iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
RGL adalah kebenaran merentas sempadan untuk perniagaan penting serta urusan rasmi kedua-dua negara, manakala PCA pula memberi kelonggaran kepada pemegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan.
Pembukaan pintu sempadan kedua-dua negara itu memberi kelegaan buat pengusaha agensi pekerjaan kerana boleh memberi ‘nyawa’ untuk terus bertahan.
Jack berkata, meskipun kelonggaran itu memberi manfaat untuk agensi pekerjaan, namun ia masih tidak mampu untuk menampung kos operasi seperti sebelum PKP dilaksanakan.
“Bulan lalu, Singapura sudah membuka sektor ekonomi dengan kilang-kilang mula beroperasi dan mereka telah mohon sumber tenaga kerja, tetapi sekarang, pekerja terpaksa tinggal di negara itu,” katanya.
Jack memberitahu, masalah wujud apabila peraturan bagi sewaan rumah di Singapura sangat ketat dan hanya enam individu dibenarkan tinggal dalam sebuah rumah.
“Jika jumlahnya lebih, individu ketujuh dan seterusnya akan dihantar pulang ke negara asal dan permit boleh dibatalkan.
“Kos penginapan yang tinggi turut menjadi faktor kenapa ramai rakyat kita tidak sanggup untuk bekerja di Singapura,” katanya.