fbpx

Anak mati dibunuh depan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI rumah di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu inilah seorang gadis mati dibunuh dalam kejadian samun semalam.

HULU TERENGGANU – Kebimbangan seorang adik selepas kakaknya tidak menjemputnya pulang dari sekolah seperti ke­biasaan rupa-rupanya membawa kepada berita buruk apabila wanita itu menjadi mangsa pembunuhan kejam dalam kejadian samun di rumah mereka di Kampung Lubuk Batu, Telemong di sini semalam.

Kejadian terbongkar selepas pelajar tingkatan tiga itu tiba di rumahnya sebelum melihat mayat kakaknya, Siti Nur Suria Ismail, 19, dalam keadaan ter­tiarap dan berlumuran darah di bahagian ruang tamu kira-kira pukul 2.30 petang.

Lebih menyayat hati, mayat mangsa ditemui dengan perge­langan tangan kirinya putus selain anggota badan lain ditetak menggunakan senjata tajam.

SITI NUR SURIA

Menceritakan kejadian itu, abang mangsa, Mohd. Zaid Asroi, 28, berkata, pada mulanya, adiknya yang berusia 15 tahun agak pelik kerana Siti Nur Suria tidak menjemputnya dari sekolah seperti kebiasaan.

“Dia kemudiannya balik ke rumah yang terletak kira-kira 2 kilometer dari sekolah dengan berjalan kaki.

“Sebaik tiba, adik bongsu saya nampak mayat Siti Nur Suria tertiarap di ruang tamu berhampiran katil ibu, Zaini Musa, 55.

“Ibu pula tidak dapat bergerak kerana terlantar sakit sejak tiga bulan lalu akibat barah otak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zaid Asroi berkata, ibu yang terbaring hanya mampu melihat mayat anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Tambahnya, ketika kejadian, dia dan ayah sedang bekerja di Bukit Payung, Marang dan terus bergegas pulang ke rumah sebaik dihubungi adiknya.

“Keadaan rumah tidak berselerak tetapi sejumlah duit dianggarkan ratusan ringgit dan telefon bimbit adik saya (Siti Nur Suria) telah hilang dilarikan penjenayah.

“Siti Nur Suria seorang yang periang dan sanggup untuk menjaga ibu yang menderita kanser otak sejak setahun lalu tetapi semakin kritikal pada tiga bulan lalu,” katanya.

MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu oleh proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, mangsa ditemui dengan beberapa tetakan menggunakan senjata tajam pada bahagian leher, muka, dada dan tangan kiri.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya pembunuhan itu bermotifkan samun dan dilakukan seorang penjenayah.

“Kita percaya kejadian berlaku pada sebelah pagi, manakala ibu mangsa pula tidak diapa-apakan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu ­Terengganu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI