Oleh YATIMIN ABDULLAH
PASIR MAS – Tiga lelaki dicekup bersama pelbagai jenis dadah termasuk seliter air ketum dengan anggaran kesemuanya bernilai RM131,110 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubok Chekok di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 12.30 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas merampas pelbagai jenis dadah antaranya Syabu seberat 251 gram), pil Eramin 5 (3,200 biji), Epam (11,600) dan satu liter air ketum.
Ketua Polis Daerah Pasir Masa, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dan wang tunai berjumlah RM7,465 dipercayai hasil jualan barang terlarang itu turut dirampas.
Menurutnya, hasil ujian air kencing terhadap suspek berusia antara 24 hingga 33 tahun itu mendapati, salah seorang daripada mereka positif dadah jenis methampethamine.
“Hasil siasatan yang dilakukan mendapati salah seorang suspek berusia 28 tahun mengaku kesemua dadah dirampas itu miliknya.
“Lelaki itu turut mengaku telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bermula Mac tahun lalu,” katanya.
Mohamad Roy berkata, suspek turut mengaku kali terakhir dia mendapatkan bekalan pada bulan Ogos lalu.
Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga Jumaat ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE