PETALING JAYA – Penyanyi Eka Sharif pasrah selepas terpaksa membatalkan majlis persandingannya buat kali ketiga gara-gara pandemik Covid-19 yang masih belum surut.
Menurut penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ke-9 itu, dia mengakui berasa sedih dan terkilan kerana impiannya untuk duduk bersanding dengan suami tercinta terpaksa dibatalkan buat kali ketiga semalam.
“Terdahulu kalau diikutkan majlis persandingan akan dibuat pada bulan April lalu, namun telah ditunda pada bulan Julai yang turut dibatalkan.
“Tapi untuk kali yang ketiga, nampaknya majlis ini terpaksalah ditunda juga kerana keadaan masih tidak mengizinkan kerana pandemik Covid-19,” ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi itu terpaksa akur dengan apa yang telah terjadi dan percaya setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
Pada masa sama, Eka atau nama sebenarnya Nur Atiqah Shariffudin memberitahu, majlis yang sepatutnya dibuat di Hotel Royal Palace, Cyberjaya itu akan dibuat juga pada satu tarikh lain.
“Saya tetap akan mengadakan majlis yang telah dirancang kerana telah membuat pembayaran penuh kepada pihak hotel.
“Kesemua cenderahati berasaskan makanan yang ditempah telah rosak dan terpaksa dibuang,” katanya yang kini hamil tiga bulan.
Terdahulu penyanyi yang popular dengan lagu Sepenuh Jiwa ciptaan anggota Projector Band itu selamat dinikahkan dengan pasangan pilihan, Nazrulnazim Abdul Jabar, 33, pada 19 Julai lalu.-K! ONLINE