Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
KAPTEN Terengganu FC (TFC), Lee Tuck yakin dia dan rakan-rakan sepasukannya mampu menjadikan skuad Penyu sebagai pencabar utama merebut kejuaraan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya pada 6 November ini.
Pemain tengah TFC itu menyifatkan mereka berada pada momentum terbaik selain meraih tonik tambahan selepas membantu skuad bimbingan Nafuzi Zain tersebut menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat ketiga.
“Apatah lagi momentum kami kini sedang meningkat setelah memenangi semua tiga perlawanan terakhir liga.
“Saya percaya dengan corak permainan yang telah dipamerkan sepanjang saingan Liga Super musim ini, keyakinan kami untuk memberi cabaran dalam saingan Piala Malaysia semakin melonjak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Sementara itu, Lee Tuck, 32, berpendapat barisan pemain sedia ada TFC perlu dikekalkan tanpa sebarang perubahan menghadapai pusingan pertama Piala Malaysia minggu depan.
“Kita tidak perlu mengikut rentak sebahagian pasukan lain yang melakukan rombakan kerana skuad TFC sedia ada kini sudah semakin serasi dan ampuh pada setiap posisi.
“Benteng pertahanan sudah kembali kukuh, manakala barisan serangan juga mampu mencipta banyak peluang dan menjaringkan gol,” jelasnya.