fbpx

Sindiket edar, seludup ganja dari Thailand masuk jerat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainudin (tengah) pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town hari ini.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan ganja dari Thailand menggunakan laluan laut selepas menahan 12 suspek termasuk ‘mastermind’ dalam beberapa siri serbuan di Pulau Pinang, Kedah dan Perak minggu lalu.

Suspek terdiri 11 lelaki termasuk seorang warga Thailand bersama seorang wanita yang masing-masing berusia 22 hingga 46 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Pulau Pinang dan Kedah mulai 27 hingga 28 Oktober lalu.

Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, kesemua suspek diberkas dalam sembilan operasi yang dijalankan secara serentak di tiga negeri berkenaan.

Menurutnya, penahanan seorang lelaki warga Thailand di kawasan Bagan Nyiur, Seberang Perai Tengah pada Selasa lalu berjaya membongkar kegiatan tersebut selepas merampas sebanyak 313 ketulan ganja mampat di dalam 15 bungkusan plastik hitam.

“Susulan penahanan suspek terbabit telah membawa kepada tangkapan 11 lagi ahli sindiket termasuk ‘mastermind’ dalam sembilan serbuan di Pulau Pinang, Kupang di Kedah dan Taiping, Perak.

“Siasatan mendapati, ganja yang dipercayai diseludup dari Satun, Thailand itu menggunakan khidmat bot fiber atau nelayan ke negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini sebentar tadi.

Beliau memberitahu, nilai keseluruhan ganja yang dirampas adalah berjumlah RM822,000, manakala turut dirampas adalah syabu seberat 495 gram dengan nilai RM49,500.

Turut disita adalah 15 buah kenderaan seperti Mazda CX5, Toyota Alphard, Proton X70, BMW 3 Series dan Isuzu Dmax dengan nilai keseluruhanya RM1.5 juta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI