IMOLA – Perlumbaan berprestij Formula Satu (F1) melakukan tindakan berani ketika pandemik Covid-19 melanda dunia apabila tetap menyenaraikan sejumlah 23 perlumbaan Grand Prix (GP) menjelang musim 2021.
Gara-gara Covid-19, perlumbaan pada tahun ini sepatutnya berlangsung 21 pusingan, namun terpaksa dikurangkan kepada 17 perlumbaan selain menyaksikan saingan itu berlangsung tanpa kehadiran penonton.
Perlumbaan musim 2021 akan membuka tirai pada 21 Mac bagi GP Australia dan seminggu selepas itu berlangsung bagi GP Bahrain.
Pengumuman tersebut memberi reaksi kurang senang beberapa pasukan selepas mengakui terbeban dengan perlumbaan yang banyak.
“Sudah pasti dengan 23 perlumbaan akan membuatkan mekanik kerja lebih banyak. Selama 23 minggu jauh dari rumah membuatkan pasukan berdepan kesukaran dan memerlukan dua pasukan,” kata ketua pasukan Red Bull, Christian Horner.
Ketua pasukan Williams, Simon Roberts senada dengan Horner dan jika benar 23 perlumbaan berlangsung musim depan, maka pihaknya akan menggunakan sistem giliran untuk memastikan setiap kru pasukan mampu tampil cemerlang.
“Kami berharap dapat melakukan sistem penggiliran jadi tidak semua perlu pergi ke setiap perlumbaan,” kata Roberts.
Sementara itu, prinsipal pasukan Haas, Guenther Steiner mengakui 23 GP merupakan perlumbaan sukar dan akibat pandemik Covid-19 masih belum reda kemungkinan ada beberapa perlumbaan terpaksa dibatalkan.
“Mungkin ada beberapa perlumbaan terpaksa dibatalkan musim depan gara-gara Covid-19. Sukar bagi pasukan untuk menghadapi 23 perlumbaan,” ujarnya. – AGENSI