fbpx

Rumah sewa dijadikan pusat judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkhairi menunjukkan buku nota yang mencatatkan transaksi bayaran judi online serta jenis permainan yang disediakan. Foto MOHAMAD FAIZAL HASHIM

ISKANDAR PUTERI – Sebuah rumah sewa di kawasan Taman Bukit Indah di sini dijadikan pusat operasi bagi judi online bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Namun, baru kira-kira sebulan beroperasi, rumah sewa itu diserbu sepasukan polis cawangan D7 , Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dalam satu serbuan semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang itu, polis menahan tujuh individu berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Katanya, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti mempromosi perjudian online.

“Bertindak atas maklumat, polis membuat serbuan ke atas sebuah rumah sewa yang menggerakkan operasi judi online dan menahan tiga lelaki dan empat wanita tempatan. Kebiasaannya, operasi ini dibuat di lot kedai dan premis perniagaan.

“Hasil siasatan mendapati pusat operasi judi online ini sudah beroperasi kira-kira sebulan yang lalu. Pusat ini menjadi tempat buat pemain judi online membuat tambah nilai bagi meneruskan aktiviti judi online mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun baru sahaja beroperasi, pusat terbabit sudah membuat transaksi lebih RM6,000 melibatkan sehingga 30 individu seperti yang dicatatkan dalam buku nota mereka.

Pada operasi itu juga katanya, polis turut merampas empat set komputer, tujuh unit telefon bimbit, dua buku nota, tiga unit kalkulator, satu unit modem, 13 keping kad bank dan 59 kertas putih tercatat urus niaga judi online.

“Kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan kesemua tangkapan akan dipohon reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI