MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford mampu menjadi mimpi ngeri buat Arsenal menjelang aksi kedua-dua pasukan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi esok.
Pemain antarabangsa England itu menampilkan aksi memukau ketika membantu United membelasah RB Leipzig 5-0 pada saingan Liga Juara-Juara Khamis lalu apabila meledak hatrik.
Juteru, ia mungkin memaksa benteng pertahanan The Gunners mencari jalan terbaik bagi merantai Rashford pada perlawanan esok memandangkan dia boleh menghadirkan ancaman buat pasukan pelawat.
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya pemain berusia 23 tahun itu akan meneruskan aksi cemerlang pada perlawanan menentang Arsenal.
“Aksinya sudah semakin matang dan boleh dilihat kemampuannya di atas padang. Saya percaya dia akan memainkan peranan penting pada perlawanan bertemu Arsenal.
“Dia mempunyai masa depan yang sangat cerah. Buat masa ini, dia adalah seorang pemain yang bagus tetapi Rashford ada potensi menjadi antara terbaik di dunia,” kata Solskjaer.
Arsenal turut berada dalam bahaya apabila Rashford dijangka melakukan segala-galanya bagi menamatkan kemarau jaringan ke atas Arsenal dalam saingan EPL sejak 2016. – AGENSI