fbpx

Polis Ipoh keluarkan 30 saman dalam Op Mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG anggota polis menjalankan ujian pernafasan kandungan alkohol ke atas seorang pemandu dalam Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Leong Boon Swee di Ipoh semalam. Foto Ihsan PDRM

IPOH – Sebanyak 30 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerusi Op Mabuk di sini semalam.

Dalam operasi bermula pukul 11 malam hingga 1.30 pagi tadi di Jalan Leong Boon Swee di sini, sebanyak 300 buah kenderaan telah diperiksa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Superintendan Lee Swee Sake berkata, dalam operasi tersebut, enam individu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol telah diarahkan menjalani ujian pernafasan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA).

Katanya, keputusan ujian itu bagaimanapun mengesahkan kandungan alkohol dalam badan keenam-enam individu itu adalah tidak melebihi kandungan yang dibenarkan.

“Dalam operasi itu juga, sebanyak 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen, mengubah suai kenderaan, tidak memakai tali pinggang keledar, nombor pendaftaran kenderaan dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi selama tiga jam itu membabitkan dua pegawai dan 21 anggota daripada BSPT, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Ipoh.

Katanya, operasi tersebut selain mengesan pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol, ia juga bertujuan mencegah jenayah curi kenderaan dan narkotik.

“Polis Ipoh akan memastikan Op Mabuk ini dilakukan secara berterusan kerana kita tidak mahu isu pemandu mabuk menjadi masalah sosial kepada masyarakat di daerah ini.

“Kita tidak akan memberi nasihat mahupun amaran lagi, mana-mana individu yang didapati bersalah akan terus diambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI