fbpx

Pendapatan teksi Shah Alam merosot 80 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razali (kiri) menerima sumbangan daripada Ahmad Dusuki (tengah) di Hentian Teksi Seksyen 2, Shah Alam, hari ini.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Pemandu teksi sekitar bandar raya ini terus dihimpit kesusahan apabila pendapatan mereka merosot sehingga 80 peratus akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi penularan Covid-19.

Lebih menyedihkan, mereka mendakwa kerap hanya memperoleh RM10 sehari dan kadangkala terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Timbalan Presiden Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam, Razali Sahran, 53, berkata faktor itu berpunca kekurangan penumpang terutama penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan kakitangan kerajaan.

Katanya, kemerosotan mula berlaku sejak Mac lalu namun kembali stabil sejak beberapa bulan lalu dengan pendapatan mencecah sehingga RM100 sehari.

“Bagaimanapun, keadaan sama berulang sejak PKPB dilaksanakan di Selangor sehingga kami sukar mendapat RM10 sekali pun setiap hari.

“Malah, kami yang terdiri daripada 84 pemandu teksi kini terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk mengisi minyak dan membaiki kenderaan,” katanya ketika ditemui di Hentian Teksi Seksyen 2 di sini, petang tadi.

Justeru, beliau berharap kerajaan akan terus menyalurkan bantuan bersasar kepada golongan itu yang kini turut tergolong dalam kategori miskin bandar.

Bagi pemandu veteran, Taufik Mokhtar, 70, dia yang menetap di Bukit Tinggi, Klang menjadikan kerjanya teksi sebagai rezeki utamanya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Hati mana tidak sedih jika pernah pulang dengan tangan kosong selepas keluar mencari penumpang sejak 6 pagi hingga 5 petang.

“Saya tidak mempunyai pencen dan bergantung sepenuhnya dengan pendapatan memandu teksi sejak sekian lama,” kata datuk kepada tujuh cucu itu.

Terdahulu, seramai 63 pemandu teksi menerima sumbangan barangan keperluan daripada Maahad Tahfiz An-Nabawi, Seksyen 8 yang diserahkan Penasihatnya, Ahmad Dusuki Abd Rani. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI