PETALING JAYA – Seperti sudah terang lagi bersuluh. Hubungan selebriti dan usahawan popular, Neelofa dengan penceramah bebas, PU Riz kini memasuki fasa semakin serius.
Bekas pengacara MeleTOP itu dikatakan sudah pun dirisik oleh keluarga PU Riz dalam sebuah majlis sederhana yang berlangsung di kediaman keluarga Neelofa di Petaling Jaya, petang tadi.
Menurut sumber, dalam majlis hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak tersebut, Neelofa turut menerima sebentuk cincin sebagai tanda.
Biarpun tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kedua-dua pihak, satu perkongsian daripada ibu Neelofa, Datin Noor Kartini mengukuhkan dakwaan ramai apabila meluahkan rasa syukur dan gembira terhadap puteri kesayangannya. Kartini berterima kasih dan lega kerana akhirnya sudah dianugerahkan Tuhan seorang seorang insan istimewa yang akan menjadi pembimbing anak kesayangannya itu.
“Bismillahhirohmanirrohim…Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. syukur ku padaMu Ya Rabb, saat yang kutunggu-tunggu sudah pun tiba. Kau hadirkan insan istimewa yang bakal membimbing bidadari kesayanganku,” tulis Kartini menerusi status yang turut disertakan gambar bersama Neelofa dan PU Rizz.
Tambahnya, dia yakin dengan ketentuan Tuhan bahawa bakal menantunya itu akan dapat membahagiakan, menyerikan, melengkapi dan menyokong setiap urusan anak perempuannya kelak.
“Aku yakin dengan ketentuanMu, yang mana insan ini dapat membahagiakannya, dapat menyerikan dan melengkapi hidupnya, yang akan menyokong setiap apa saja urusannya.
“Ya Allah, jadilah mereka penyebab kami menjadi tetamu istimewaMu di syurgaMu nanti .. amiinn @neelofa,” luah Kartini sambil mendoakan yang terbaik buat Neelofa.
Majlis merisik diadakan selepas solat Asar petang. Mereka dilaporkan akan bernikah pada Mac tahun depan. – K! ONLINE