fbpx

MBI selenggara longkang utama hadapi musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nolee Ashilin Mohammed Radzi

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan longkang utama secara intensif bermula esok melibatkan 21 lokasi utama dengan keluasan kerja sepanjang 11.4 kilometer (km).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerja-kerja pembersihan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM409,000 melalui peruntukan Wang Sumbangan Saliran.

Menurut beliau, ia dilaksanakan sebagai langkah proaktif MBI bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada penghujung tahun ini.

“Antara kawasan terlibat ialah di Taman Chandan Desa, Medan Pasir Ria, Kampung Sri Kinta, Persiaran Bendahara Ipoh dan RPT Pengkalan Pegoh.

“Turut terlibat ialah Taman Kampar, Taman Pengkalan Barat, Taman Kledang Permai, Bandar Seri Botani, Seri Palma, Taman Indah Jaya dan Taman Mansion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan air pancut Bulatan Sultan Yussuf di sini malam tadi yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Dalam pada itu katanya, pihak MBI turut menjalankan kerja-kerja membaikpulih jalan di beberapa lokasi utama dalam kawasan pentadbiran yang akan disiapkan pada penghujung tahun ini.

Jelas Nolee, kerja-kerja tersebut adalah membaikpulih jalan di Lebuh 5 dan Persiaran Hospital (berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh) melibatkan kerja pelebaran jalan dan penambahan 200 petak letak kereta dengan kos RM463,630.

“Turut dijalankan ialah membaikpulih Jalan Kompleks Sukan di Kampung Simee melibatkan komponen kerja pelebaran jalan, pembahagi jalan dan pemasangan lampu jalan dengan kos RM442,964.

“Kedua-dua projek adalah merupakan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kerajaan Tempatan berjumlah RM906,594,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI