PARIT BUNTAR – Seorang lelaki ditahan ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah kedai makan dalam kejadian di Taman Kerian Permai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 pagi itu, suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan orang awam selepas melarikan diri dari pintu depan kedai menghala ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhwan sebelum dia diserahkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kejadian tersebut disedari rakan pemilik kedai makan yang ternampak kelibat seorang lelaki tidak dikenali dan mencurigakan masuk ke premis berkenaan.
“Dia kemudiannya menghampiri kedai berkenaan dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali di dalamnya sebelum menjerkah ke arah suspek.
“Suspek seterusnya melarikan diri melalui pintu hadapan kedai sebelum dikejar rakan pemilik kedai bersama kawan-kawannya yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mazuki, suspek berjaya ditahan orang awam di kawasan tanah perkuburan berdekatan sebelum dia diserahkan kepada pihak polis.
“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai pengawasan televisyen litar tertutup (CCTV) dan kerugian dianggarkan kira-kira RM220.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah kedai,” katanya. -K! ONLINE