JOHOR BAHRU – Ucapan rindu, deraian air mata menghiasi suasana di atas kapal persiaran dinaiki 21 keluarga terpisah yang dengan ketua keluarga sejak pintu sempadan Malaysia-Singapura ditutup akibat pandemik Covid-19, 18 Mac lalu.
Seorang remaja Darwishah Insyirah Darma, 14, dan ibunya, Che Suriyati Mohd. Nor, 40, bersyukur apabila berpeluang terpilih menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Miss You My Love yang disediakan R&F Princess Cove.
Che Suriyati berkata, biarpun hanya bersua di tengah Selat Tebrau, dia dan puteri bongsunya bersyukur kerana dapat melepaskan kerinduan terhadap suaminya, Darma Mohamad, 48, selepas lebih tujuh bulan tidak bertemu.
“Rindu teramat sangat hanya Allah sahaja yang tahu perasaan kami.
“Pagi ini (semalam), seawal pukul 8 pagi kami sudah sampai di Jeti R&F Marina, hati bercampur baur, bila kapal lalu, air mata kami gugur kerana terlalu rindu,” katanya di sini semalam.
Bercerita lanjut, Che Suriyati memberitahu, dia juga terkesan apabila mengenangkan kehidupan suaminya yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di sana ekoran kos sara hidup terlalu tinggi.
“Sepanjang hampir lapan bulan suami di sana, kehidupannya tidak terurus, makan ala kadar, makan roti, mi segera dan tidur pun di kaki lima.
“Sepupu dekat sana ada ajak menumpang di rumah mereka, namun dia segan mahu tinggal lama. Tiada pilihan, tidur ala kadar kadang-kadang di kedai makan, nak sewa bilik mahal,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua R&F Development Malaysia, Richard Hu berkata, program CSR ‘Miss You My Love’ merupakan inisiatif pihaknya bagi membantu keluarga yang terpisah melepaskan kerinduan.
Menurutnya, ia merupakan kali kedua pihaknya melaksanakan CSR itu membabitkan 21 keluarga terdiri daripada sembilan keluarga Melayu, tujuh India dan lima Cina.
“Seramai 67 peserta yang terlibat membabitkan 21 keluarga. Mereka dibawa mengikut trip, satu trip seramai 20 orang dalam masa masa 15 hingga 20 minit.
“Kita bawa mereka ke tengah Selat Tebrau sehampir mungkin untuk melihat lebih dekat keluarga mereka di Singapura,” jelasnya.-K! ONLINE
Artikel berkaitan : 21 keluarga berpeluang lepas rindu di Selat Tebrau