PARIS – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel bengang dengan penyusunan jadual perlawanan padat yang perlu ditempuhi barisan pemainnya musim ini.
Tuchel, 47, menegaskan, bintangnya, Neymar telah menerima kesan daripada penjadualan padat itu apabila mengalami kecederaan ketika menentang juara Turki, Istanbul Basaksehir pada aksi Liga Juara-Juara pada Khamis lalu.
“Sudah banyak kali saya beritahu bahawa ia (jadual padat) akan ‘membunuh’ pemain kerana mereka tidak mempunyai tempoh masa yang cukup dari segi persediaan dan rehat selepas tamat perlawanan.
“Bukan sahaja kelab tetapi mereka juga menggalas tanggungjawab beraksi dengan negara masing-masing. Semua ini secara tidak langsung mampu mempengaruhi prestasi dan mengakibatkan kecederaan.
“Saya tidak mencari alasan tetapi inilah kenyataannya. Saya harap akan ada jalan penyelesaian kepada masalah jadual perlawanan yang padat ketika ini,” katanya.
Sebagai rekod, aksi menentang Nantes di Stade de la Beaujoire awal pagi tadi adalah perlawanan kelima PSG dalam tempoh 16 hari sebelum gergasi Perancis itu bertemu RB Leipzig serta Rennes pada 5 dan 9 November ini.
Selepas itu, para pemain akan bersama negara masing-masing untuk tugasan antarabangsa sebelum kembali bersama kelab meneruskan saingan domestik dan Eropah pada 20 November depan. – AGENSI