fbpx

Dana RM400,000 bantu petani tanam kelapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUAN Saripuddin (dua kanan) dalam menyampaikan anak benih kelapa pandan kepada petani di Pasir Puteh hari ini.

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Kerajaan negeri Kelantan menyediakan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk Projek Penanam Kelapa al-Falah yang melibatkan 16 kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini sejak Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Saripuddin Tuan Ismail berkata, peruntukan itu untuk membantu pekebun kelapa negeri ini menanam semula pelbagai varieti kelapa berkualiti untuk kegunaan dalam dan luar negara.

Menurutnya, setakat ini, petani di DUN Kijang dan DUN Chempaka sudah menerima anak benih kelapa yang diagihkan secara percuma mengikut keluasan tanah yang diusahakan.

“Kerajaan negeri menyasarkan lebih 200 hektar tanah di seluruh Kelantan terutamanya kawasan pantai untuk menyertai projek ini. Ia bertujuan bagi menggantikan pokok tua yang tidak produktif kepada varieti baharu yang lebih menguntungkan mereka.

“Varieti kelapa mudah berbuah dan tidak tinggi akan mengurangkan kebergantungan kepada kelapa yang diimport dari Indonesia kira-kira 100 juta biji setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan anak benih kelapa pandan kepada 30 pekebun di Pejabat Pertanian Daerah Pasir Puteh di sini hari ini.

Program agihan benih bagi Projek Penanam Kelapa al-Falah di sini melibatkan kawasan seluas 19.28 hektar dengan peruntukan sebanyak RM50,000 menerusi penyediaan 3,333 anak benih kelapa pandan.

Mengulas lanjut, menurut Tuan Saripuddin, projek kerajaan negeri itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad.

Katanya, Jabatan Pertanian menilai keperluan termasuk kepakaran teknikal dan input pertanian dalam memastikan projek ini berjaya mengeluarkan produktiviti dalam tempoh tiga tahun.

“Selain kelapa pandan, projek ini turut membekalkan anak benih kelapa matah dan kelapa ‘Malayan Yellow Dwarf’ yang dikenal pasti mampu membekalkan bahan mentah untuk pelbagai industri hiliran.

“Kerajaan negeri akan terus memperkasakan kempen menanam kelapa bagi menyahut kejayaan negara yang berjaya mencatatkan nilai eksport kelapa dan produk kelapa sebanyak RM974 juta tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, negara masih berupaya mengeksport kelapa selain tanah terbiar di negeri itu juga akan ditebus guna untuk projek penanam kelapa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI