LIVERPOOL – Pengurus Everton, Carlo Ancelotti menggesa anak-anak buahnya supaya mengembalikan rentak kemenangan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United di St. James Park malam ini.
Pada masa sama, beliau berharap pemain-pemainnya boleh menggalas tanggungjawab lebih besar dengan ketiadaan Richarlison yang sedang menjalani penggantungan tiga perlawanan akibat dilayangkan kad merah.
Selain Richarlison, The Toffees turut dijangka tidak dapat menggunakan khidmat bintang Colombia, James Rodriguez kerana kecederaan serta Lucas Digne yang digantung.
“Berdasarkan statistik yang saya lihat, ada dua perkara penting dapat saya rumuskan. Pertama, Richarlison adalah pemain yang sangat penting buat pasukan ini.
“Keduanya adalah sudah tiba masa untuk kami kurang bergantung kepada kemampuan Richarlison. Pemain-pemain perlu ambil tanggungjawab tersebut bagi membantu pasukan catat kemenangan,” tegas Ancelotti.
Meskipun akan turun tanpa kelibat Richarlison, Rodriguez dan Digne, namun bekas pengendali Real Madrid itu percaya mereka memiliki ramai pemain yang mampu mengisi kekosongan tiga pemain tersebut.
“Apa yang pasti, Richarlison, Rodriguez dan Digne tidak akan bersama pasukan ke Newcastle. Bagaimanapun, kami masih skuad yang bagus serta berpeluang untuk menang,” kata beliau. – AGENSI