KUALA TERENGGANU – Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini diharap dapat memberi tumpuan khusus terhadap kebajikan rakyat yang bergantung kepada gaji harian.
Presiden Kehormat Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Terengganu (DPPCT),
Datuk Tok Teng Sai berkata, golongan yang bergantung kepada gaji harian seperti penjaja, pemandu teksi dan e-hailing dan peniaga kecil paling terkesan dengan impak negatif penularan pandemik Covid-19.
“Saya mencadangkan agar inisiatif sedia ada membantu golongan berkenaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) perlu diperkasakan.
“Memberi bantuan secara terus adalah kaedah terbaik untuk membantu meringankan beban sara hidup mereka pada waktu ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat DPPCT di sini hari ini.
Teng Sai berkata, kerajaan juga harus mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap hasil petroleum sebalik mencari mekanisme lebih efektif menjana pendapatan sumber baharu yang mampu memberi pulangan secara terus kepada rakyat.
Begitupun, beliau mengakui Bajet 2021 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tersebut sangat mencabar sewaktu negara sedang berusaha menangani penularan pandemik Covid-19.
“Sehubungan itu, saya seru semua ahli parlimen termasuk pembangkang menyokong usul Bajet 2021 berkenaan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat. – K! ONLINE