fbpx

Amelia Henderson ketepikan negativiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INGIN lari daripada membawakan watak teraniaya dalam drama, Amelia teringin untuk membawakan karakter yang lebih mencabar keupayaannya. – FARIZWAN HASBULLAH

SIAPA yang hanya mengenali pemilik nama penuh Amelia Thripura Henderson menerusi media sosial atau kaca televisyen, pasti menyangka jelitawan berdarah campuran Sri Lanka-Scotland itu seorang yang tidak mesra atau lebih tepat lagi berperwatakan sombong.

Andaian yang bermain dalam kepala penulis saat pertama kali bertemu dengan Amelia ternyata meleset. Pertemuan empat mata dengannya nyata mengubah persepsi terhadapnya.

Dilahirkan dengan kejelitaan semula jadi, keperibadian pelakon dan pengacara tinggi lampai itu juga tersulam dengan sikap mesra dan peramah dengan sesiapa sahaja.

Tutur katanya tersusun, malah terselit sisi humor secara spontan bila menjawab setiap pertanyaan yang disuakan buatnya.

Bertamu ke sesi fotografi ekslusif bersama Pose di CitizenM Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, selebriti berusia 25 tahun enggan mengungkit kisah lama.

Khalayak tahu, wanita itu sudah melalui pengalaman mematangkan selepas melewati episod perceraian apabila rumah tangga yang dibina pada tahun 2015 berkecai sekitar 2018.

“Saya rasa sebagai selebriti, ada banyak lagi perkara menarik yang boleh dibicarakan selain daripada kisah rumah tangga dan perceraian.

 

WANITA kacukan Sri Lanka-Scotland itu mengakui penat memainkan watak yang sentiasa berendam dengan air mata.

 

Populariti

Memetik kenyataan Amelia sebelum ini, dia pernah memberitahu bahawa perceraian yang terjadi ke atas dirinya dengan bekas suami sudah tertulis sebagai ketentuan Tuhan untuknya. Dia reda dengan jalan hidupnya yang kini bergelar janda muda.

Nama Amelia Henderson sebenarnya tidak asing dalam industri hiburan tanah air. Wanita itu telah melangkah ke dunia glamour sejak kecil lagi dengan menjadi model iklan sebelum terjun dalam bidang lakonan.

Biarpun telah berkecimpung dalam area seni sejak sekian lama, Amelia tidak pernah kisah soal populariti, sama ada popular ataupun sekadar artis suam-suam kuku.

Sedar dirinya tidaklah sepopular berbanding selebriti lain yang mungkin kerap meniti dibibir peminat. namun bagi Amelia, kehadirannya dalam bidang seni demi kecintaan sejak kecil, selain sebagai sumber pencarian.
Pelat

Sebagai pelakon, kritikan juga sudah sebati dalam hidupnya. Mana yang baik dijadikan panduan, apa yang buruk dibuat sempadan.

Sewaktu mula berjinak-jinak menceburi sinema Melayu, Amelia pernah dikritik apabila pertuturannya dikatakan pelat.

“Saya bermula sebagai pengacara untuk program berbahasa Inggeris dan majlis-majlis formal yang menggunakan bahasa tersebut.

“Tetapi apabila mendapat tawaran untuk berlakon dalam drama berbahasa Melayu, saya anggap itu sebagai satu cabaran,” ujarnya.

 

DENGAN ketinggian mencecah 171cm, Amelia mengakui sukar untuk mendapat gandingan hero yang sesuai dengan ketinggiannya.

 

Daripada situ sedikit demi sedikit penguasaan bahasa Melayunya berkembang.

Dia semakin fasih biarpun masih terdapat segelintir penonton menyifatkan pertuturannya masih pelat. Sekurang-kurangnya, mutu bahasa Melayunya ini lebih baik berbanding dahulu.

Dari segi lakonan, pelakon yang pernah memenangi tempat kedua pertandingan ratu cantik Miss Asia Pacific 2013 dilihat memiliki kekuatan dalam ‘permainan’ air mata.

Lakonannya menerusi drama Pengantin Satu Malam dan Rindu Yang Terindah misalnya memerlukan Amelia bermain emosi berat hampir setiap adegan.

Mengakui membawakan watak sebegitu bukannya mudah, Amelia yang dikenali dengan kehidupan ceria memerlukan penghayatan dan persediaan penuh untuk ‘membentuk’ air mata supaya nampak semula jadi.

“Sebenarnya penat apabila membawakan watak menangis kerana adegan itu perlu nampak seperti sebenar dan amat meletihkan.

“Pernah saya perlu melakukan adegan menangis selama tujuh hari berturut-turut sehingga saya berasa sangat letih,” katanya.

Mengakui ingin ‘lari’ daripada membawakan watak sama setiap kali mendapat tawaran, Amelia bakal tampil dalam drama terbaharu bertajuk Romantika 4 Hari 3 Malam dengan sisi berlainan.

Dia sangat gembira apabila akhirnya diberikan watak yang kena dengan keperibadiannya, ceria, muda, segar dan gila-gila.

“Bosan juga kalau asyik bawa watak wanita teraniaya dan 24 jam asyik menangis.

“Kali ini saya sangat teruja apabila membawakan watak lain daripada yang lain,” tegasnya.

Kekal positif

Ditebak, adakah wajah pan-Asian menyukarkan Amelia membawakan sebarang watak, situasi tersebut tidak dinafikannya. Amelia mengakui karakter yang dibawa perlu sesuai dengan penampilan seseorang pelakon.

Wanita berketinggian 171 sentimeter (cm) itu bagaimanapun menjelaskan, bukanlah sesuatu yang mustahil jika watak-watak sebegitu (wanita berwajah pan-Asian) diwujudkan mengikut kesesuaian cerita.

 

AMELIA tidak meletakkan sebarang sasaran dalam industri, selagi dapat watak menarik, itu dianggap.

 

“Muka ‘mat salih’ pun boleh bawa watak perempuan kampung. Yang penting kena logik dan ada jalan cerita.

“Sebagai anak seni, Amelia memang sentiasa komited dengan kerja yang dilakukan. Dunia lakonan telah sebati dalam jiwanya.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran dalam industri, selagi saya dapat watak yang menarik, saya anggap itu rezeki,” jelas Amelia.

Melihat pada kegiatan wanita ini di Instagramnya, jelas kelihatan Amelia sangat gembira dengan kehidupan yang dilaluinya setiap hari.

Biarpun sering dikecam kerana kerap tampil dengan gaya terlalu seksi, Amelia tetap positif kerana menjadi dirinya yang sebenar.

“Buatlah apa sahaja pun, pasti ada orang yang tidak gembira dengan apa yang kita lakukan.

“Sebab itu saya selalu ketepikan unsur-unsur negatif dalam hidup dan sentiasa menjadi seseorang yang ceria setiap masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI