PETALING JAYA – Penunggang motosikal warga emas maut setelah bertembung dengan sebuah lori di Jalan Sentul Link menghala ke Jalan Sultan Iskandar pagi tadi.
Kejadian berlaku pukul 11.50 pagi dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku apabila lori jenis Road Sweeper milik syarikat Alam Flora tersebut sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Pemandu lori itu yang berusia 59 tahun sedang memandu perlahan menghala ke Jalan Sultan Iskandar.
“Mangsa berusia 67 tahun menunggang motosikal jenis Honda C100B merempuh bahagian belakang kanan lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, lokasi kejadian adalah jalan bandaran dengan satu lorong sehala menghala ke Jalan Sultan Iskandar.
Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, mangsa maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala akibat rempuhan tersebut.
“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.
“Bedah siasat akan dijalankan setelah keputusan ujian Covid-19 ke atas mangsa diperoleh,” ujarnya. – K! ONLINE